NGO diminta dapatkan kebenaran untuk buat kerja amal – KPN

Spread the love

KUALA LUMPUR, 18 April  — Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) diminta dan dinasihat untuk mendapatkan kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebelum membuat sebarang kerja amal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata selain NGO, pihak swasta, agensi atau jabatan kerajaan serta mana-mana kementerian juga perlu mendapatkan kebenaran daripada MKN untuk menjalankan sebarang aktiviti. 

“Mana-mana pihak yang mahu melakukan kerja amal perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada MKN dan perlu mengikuti Produser Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Ini juga termasuk jabatan kerajaan, kementerian serta pihak swasta bagi urusan yang dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan di Menara City One, di sini, hari ini. 

Ditanya mengenai dakwaan polis memberi keistimewaan kepada pihak tertentu termasuk orang kenamaan untuk tidak terikat dengan PKP, Abdul Hamid menafikan perkara berkenaan.

“Kami ada menerima beberapa laporan polis berkaitan perkara itu dan siasatan lanjut akan dijalankan termasuk memanggil individu terlibat untuk mendapatkan penjelasan mereka.

“Saya tahu tidak semua orang melanggar PKP dan saya percaya ada antaranya mendapat kelulusan (bergerak dalam tempoh PKP),” katanya.

Beliau menasihatkan semua pihak berkaitan supaya mematuhi arahan PKP termasuk mematuhi SOP ditetapkan MKN.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata beliau tidak pernah dihubungi oleh sesiapapun untuk mendapatkan “keistimewaan” bagi melakukan sebarang perjalanan tidak wajar dalam tempoh PKP ini berkuat kuasa.

“Segala peraturan yang terkandung di dalam PKP ini mesti dipatuhi oleh semua pihak. Kecuali (perjalanan) bagi kes-kes melibatkan kebajikan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit,” katanya. 

— BERNAMA

Show Buttons
Hide Buttons