MUSYRIK – API NERAKA MENANTIMU

Spread the love

APABILA MANUSIA SANGGUP BERSEKUTU DENGAN IBLIS!

Pelakon berpengalaman, Ashraf Muslim, 41, tidak kisah digelar hero tua, apatah lagi, masih menjadi pilihan penerbit dan pengarah selepas hampir dua dekad bergelar anak seni.

Bagi Ashraf, apa yang lebih penting, lakonannya memberi impak dan meninggalkan kesan mendalam pada penonton.

“Usia hanyalah sekadar angka. Apa yang lebih penting, semakin tua jadi makin matang dalam bidang lakonan.

“Saya menjadikan hero tua seperti Datuk Rahim Razali dan Sidi Oraza sebagai inspirasi untuk menjadi pelakon berkaliber dalam industri seni tanah air,” katanya.

Mengimbas latar belakangnya, Ashraf berkata, dia mula berlakon pada 2005 dan kini sudah 17 tahun berkecimpung dalam bidang lakonan.

“Saya tidak melihat menjadi pilihan pengarah bagi watak hero hanya bersandarkan pada wajah awet muda.

“Sebaliknya, saya sentiasa menjaga ‘attitude’, hormat pada orang dan menjaga kualiti dalam lakonan,” katanya.

Poster rasmi filem Musyrik

Mengenai gandingan pelakon baharu, Ashraf yang pernah bergandingan dengan Sharifah Rose menerusi drama 3 Nota Cinta berkata, dia tidak pernah ada masalah berlakon dengan bintang baharu.

“Saya bermula dari pelakon ‘kayu’ sebelum berada pada tahap sekarang.

“Sebab itu, saya tidak kisah berlakon dengan pelakon baharu yang dianggap ‘kayu’, asalkan mahu belajar ilmu lakonan,” katanya yang akan muncul dengan filem baharu, Musyrik – Api Neraka Menantimu!

Mengulas mengenai filem genre seram itu, Ashraf berkata, dia menerima tawaran berlakon dalam filem arahan Arjin Uppal itu kerana mahukan kelainan.

Menerusi filem terbitan White Merpati Entertainment Sdn Bhd itu, Ashraf bergandingan dengan Aeril Zafrel dan Ruhainies selaku teraju utama.

“Saya sudah lama tidak berlakon cerita bergenre seram. Apa yang lebih mencabar apabila banyak babak penggambaran dilakukan pada waktu malam.

“Saya tertarik dengan watak ustaz diberikan. Jalan cerita filem ini juga memaparkan realiti dalam situasi hari ini,” katanya.

Selain Ashraf, Aeril dan Ruhainies, filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! turut menampilkan barisan pelakon seperti Aishah Ilias, Qaseh Shuhada, Arwan Umar dan Neera Azizi.

Synopsis Filem Musyrik
Aril mempunyai sikap mudah panas baran terutama sekali apabila perniagaanya di timpa masalah berpunca dari orang kepercayaannya sendiri. Rumah tangga Aril mula menjadi porak peranda sehingga mampu bertindak di luar kawalan apabila ada sesuatu yang mendampingi dirinya. Masalah yang datang kepada
Aril mempunyai kaitan tentang kisah silam hidupnya dalam mengamalkan perbuatan Syirik.

Filem Musyrik – Api Neraka Menantimu! mula menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 7 Julai depan. Trailer rasmi filem disiarkan jam 6 petang pada 15 Jun lalu menerusi saluran YouTube/WhiteMerpatiMovies. – eWana News

Untuk mengikuti banyak lagi berita sila layari https://news.ewana.asia

Show Buttons
Hide Buttons