Media sosial beri impak besar terhadap perniagaan Ansal Ternak

Spread the love

Oleh Rashidah Abd Rahim

JASIN, 23 Feb  — Penggunaan teknologi maklumat khususnya media sosial seperti Facebook (FB) dan Instagram memberi impak besar terhadap perniagaan syarikat Ansal Frozen & Trading (AFT) yang mengusahakan makanan sejuk beku berasaskan daging serta sos perap.

Pengurus AFT Fazlina Anuar, 39, berkata selepas mengikuti Program e-Dagang Setempat (PeDAS) dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui agensinya, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) produk keluarannya semakin dikenali dan mendapat permintaan tinggi.

AFT mengeluarkan makanan sejuk beku berasaskan daging kambing, daging dan ayam serta sos perap di bawah jenama Ansal Ternak.

“Sebelum ini saya memang ada FB tapi tidak pandai menggunakannya untuk mempromosikan produk dan membuat iklan berbayar tapi selepas saya mengikuti PeDAS, banyak ilmu yang saya perolehi.

“Kalau dulu nak letak duit untuk nilai iklan di FB memang takut tetapi sekarang sehari memang saya akan letak RM50 untuk nilai iklan produk ini di bawah FB Kari Kambing Cikgu Anuar-Ansal Ternak,” katanya kepada Bernama di Pejabat Urusan dan Pusat Jualan Ansal Ternak di Jasin Bestari di sini, baru-baru ini.

Mengulas lanjut, bekas akauntan itu berkata ada ‘posting’ berkaitan produk keluaran dan restoran yang diusahakannya mencecah satu ribu ‘like’ serta dikongsi oleh 562 pengguna FB dan ia merupakan satu pencapaian terbaik buatnya yang masih berjinak-jinak menggunakan medium itu.

Melalui PeDAS, beliau juga diajar dan dibimbing oleh pakar mereka yang pakar dalam bidang keusahawanan dan teknologi untuk membuat profil perniagaan mengikut format yang betul dan menarik agar memudahkannya mengetengahkan produk kepada pelanggan dan peruncit.

Fazlina berkata produk sos perap yang dikeluarkan AFT merupakan idea yang tercetus hasil kajian dan perbincangan dengan MDEC menerusi PeDAS pada awal tahun ini.

“Sebelum ini kita lebih tertumpu pada makanan sejuk beku berasaskan daging seperti kambing, ayam, dan daging perap tetapi produk berasaskan agak sukar untuk menembusi pasaran antarabangsa dan ia memerlukan beberapa sijil seperti Amalan Pembuatan Baik serta Sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal…ia satu pensijilan yang agak tinggi dan mengambil masa untuk mendapatkannya.

“Idea ini tercetus apabila mendapati sos perap mempunyai nilai pasaran global yang cukup besar pada masa hadapan dan kita melihat potensi untuk memasarkan produk sos ini ke luar negara lebih mudah berbanding kambing, ayam, atau daging perap,” katanya yang telah menubuhkan AFT pada 1 Jun 2016.

Anak kelahiran Kampung Jus di sini berkata kambing perap merupakan produk yang mendapat permintaan tinggi dan pengeluarannya mencecah di antara 300 dengan 400 kilogram sebulan dana semua produk keluaran AFT mempunyai perakuan halal dan pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri.

Fazlina berkata produk keluarannya boleh diperoleh di Restoran Kari Kambing Cikgu Anuar di Jasin Bestari dan beberapa kedai halal mart, pasar mini selain pasar tani seluruh Melaka.

“Pasaran AFT paling jauh kita ada ejen di Kelantan dan permintaan sangat tinggi di Terengganu selain ada beberapa kedai di Kuala Lumpur, Johor dan Negeri Sembilan turut memasarkan produk kita,” katanya.

PeDAS merupakan inisiatif dilaksanakan di seluruh negara melalui 10 Pusat Internet Desa (PID) untuk menggalakkan transformasi digital dalam kalangan pengusaha industri kecil dan sederhana di luar bandar, sejajar dengan perkembangan pesat e-dagang.

Berlandaskan slogan ‘Satu Klik, Sejuta Peluang’, PeDAS kini ditawarkan di PID yang berfungsi sebagai pusat sehenti untuk memberi peluang dan ruang kepada pengusaha IKS mikro menguasai kemahiran dalam perniagaan menerusi e-dagang.

  • sumber – BERNAMA
Show Buttons
Hide Buttons