KONSERT HATTAN CAPAI KEPUASAN PENONTON
KLCC Kuala Lumpur 4 Jun 2022 – Dato’ Hattan atau nama sebenarnya Mohd. Shukri Shahabudin telah pun membuktikan kemampuan dan keunggulannya walaupun sudah mencecah umur 58 tahun. Dengan tahap stamina yang tinggi beliau berjaya memuaskan hati penonton dengan keunggulan energi suaranya yang tersendiri di kala ramai rakan seperjuangannya heboh tentang kejatuhan mutu suara terutama ketika usia semakin meningkat.


Konsert yang dimulai dengan Caklempong sebagai intro lagu Biso Bonar juga menjadikan konsert ini berjati diri dan mementingkan susur galur membuka tirai Konsert Hattan 35 Years Journey.
Menyampaikan 24 buah lagu yang kebanyakannya dinyanyikan secara bersama, Hattan memukau penonton kira-kira lebih 3 jam tanpa terasa, beliau membuktikan mutu listrik suaranya yang mempunyai energi dan lantang masih sama seperti dulu dan nyanyian beliau yang penuh berkarisma di atas pentas benar-benar membuktikan bahawa beliau adalah penyanyi dan penghibur yang professional bukan sekadar populariti semata-mata









Suara garau yang menjadi identiti Hattan sering membuai apabila beliau menyanyikan lagu seperti Pada Mu Kekasih dengan penghayatan yang tinggi. Malah beliau juga berjaya memainkan emosi penonton apabila membawa penonton mengenangkan ibu yang sudah tiada, sehingga tidak kalah ramai yang mengesat air mata dalam diam, sungguh memberi kesan.

Sekali lagi penonton dibuai emosi apabila dikisahkan tentang si penulis lirik lagu Memburu Rindu, Bob Luqman yang kini sedang tidak sihat, begitu juga almarhum Loloq yang menyumbang beberapa lirik dalam lagu-lagu nyanyian beliau.


Yang paling menyerlah pada konsert ini ialah KARISMA beliau yang sangat kelihatan apabila memakai Kemeja putih dengan rekaan labuh, dan busana Biru berkaca mata hitam yang menampakkan elegan sebagai seorang penghibur, tanpa perlu bergerak lincah melompat-lompat beliau berjaya memukau pandangan dan konsentrasi penonton.
Ditemani barisan pemuzik handalan diketuai pemain piano, Rozario yang turut bertindak sebagai Pengarah Muzik, Nan (gitar), Ritz (gitar), Ujang (dram), Fly (bass), Firdaus (keyboard) dan Pa’ang (perkusi), Mohar (Flute) berjaya membuat konsert ini melekat dalam hati penonton. Ditambah lagi dengan sistem penata bunyi yang sangat bagus hasil sentuhan Kuzai.
Dari Kekasih Kepada Kekasih, Meniti Perjalanan, Arca, Dia, Memburu Rindu, Sekuntum Mawar Merah, Rendang Tak Berbuah, Gerhana, Duit, Satu Malaya Dah Tahu, Samba Apa Saja antara 24 lagu yang disampaikan secara bertenaga oleh Hattan.


Penyanyi kelahiran Seri Menanti, Negeri Sembilan ini tidak lupa menyelitkan anak bujang beliau Adam Eiman di sela rehat beliau dengan menyampaikan sebuah lagu ciptaannya sendiri dan sebuah lagu hits duet yang versi asalnya ialah Waris dinyanyikan oleh Adam, iaitu Gadis Jolobu.

Konsert yang serba serbi menjadi ini dianjurkan oleh Mewah Event Management dengan pemilihan rakan kerja yang tepat dan kami mengucapkan syabas dan tahniah di atas kejayaan konsert yang menjadi tanda aras baru dalam industri hiburan kita. – eWana News
Kredit foto: Papa Din
Untuk berita seterusnya sila layari https://news.ewana.asia