ISU TULAR BERKENAAN CAJ TAMBANG BAS RM0.90 BAGI PERKHIDMATAN PJ CITY BUS KEPADA WARGA ASING.

Spread the love

Shah Alam, 15 JANUARI 2023 – SSDU Innovations Sdn. Bhd. (SSDU) ingin merujuk artikel yang telah tular di media sosial bertajuk “NGO desak Selangor Batal Hasrat Kenakan Tambang Bas PJ Pada Warga Asing” pada 13 Januari 2023.

Artikel yang telah tular tersebut banyak menyentuh mengenai hak sama rata yang patut dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri Selangor kepada penduduk warga asing yang menggunakan bas Smart Selangor dengan memberikan mereka penggunaan bas secara percuma.

Buat pengetahuan umum, inisiatif perkhidmatan Bas Smart Selangor adalah bertujuan bagi memberi kemudahan pengangkutan awam yang selesa dan percuma khususnya kepada warganegara Malaysia yang berada di Negeri Selangor. Manakala, caj tambang perkhidmatan bas serendah RM0.90 kepada warga asing telah lama diperkenalkan sejak Mac 2021 bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain selain Petaling Jaya dan ianya bukanlah satu diskriminasi atau penindasan yang dikenakan kepada warga
asing.

Sebaliknya, caj yang dikenakan RM0.90 ini adalah bagi menampung sebahagian kos yang diperlukan oleh Kerajaaan Negeri untuk menyediakan kemudahan terbaik kepada orang awam dan juga kos penyelengga-raan bagi mengekalkan perkhidmatan bas untuk tempoh yang lebih panjang.

Langkah mengenakan caj kepada warga asing ini sebenarnya adalah satu kaedah biasa sesebuah kerajaan bagi membezakan keistimewaan antara warganegara dan rakyat asing menggunakan perkhidmatan yang disediakan oleh pihak kerajaan. Persamaan ini boleh dilihat sama seperti perkhidmatan Hospital atau Klinik Kesihatan dimana caj juga dikenakan agak berbeza kepada warga asing.

Sebelum ini, terdapat banyak aduan daripada masyarakat mengenai Bas Smart Selangor telah dimonopoli oleh warga asing, dan perkara ini menimbulkan perdebatan dalam masyarakat mengenai isu keselamatan dan juga hak mereka sebagai pembayar cukai.

Justeru, perkhidmatan bas Smart Selangor secara percuma kepada warganegara ini sepatutnya dilihat sebagai satu inisiatif ‘eksklusif’ di bawah kerajaan Negeri Selangor untuk rakyat menikmati limpahan kemudahan awam yang disediakan.

Malahan, pelaksanaan caj RM0.90 kepada warga asing ini sebenarnya telah lama mendapat sokongan oleh pengguna warganegara Bas Smart Selangor sejak tahun 2021 kerana caj RM0.90 ini amatlah rendah jika dibandingkan dengan kelengkapan bas yang mempunyai penghawa dingin, selesa, dan bersih. (Rujuk artikel SelangorKini di: https://selangorkini.my/2021/03/rakyat-sokong-warga-asingnaik-bas-smart-selangor-dicaj-90-sen/)

Menurut Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), hampir 15% pengguna PJ City Bus adalah terdiri daripada pengguna warga asing yang menggunakan perkhidmatan PJ City Bus. Jumlah ini juga mungkin lebih kerana tidak termasuk data pengguna yang tidak menggunakan Scan To Ride apabila menaiki Bas Smart Selangor.
Oleh itu, sejajar dengan pelaksanaan caj RM0.90 bermula 15 Januari 2023, SSDU amat komited untuk terus membantu MBPJ dan PBT lain melakukan lebih banyak hebahan mengenai kepentingan perhidmatan bas percuma dan juga caj yang dikenakan kepada warga asing. – eWana News

Show Buttons
Hide Buttons