FILEM ‘MEMBURU’ – TIADA SIAPA AKAN TERLEPAS
Shah Alam, Selangor 18 March 2023 – Penulis dijemput menonton tayangan perdana sebuah filem tempatan bergenre seram berjudul MEMBURU yang khabarnya akan ditayangkan di Astro First tidak lama lagi. Bertempat di Samsung Onyx Hall MBO Atria kami dihidangkan dengan sebuah naskhah kerjasama antara Jaafar Taib, seorang yang tidak asing lagi dalam dunia kartun atau pemunya Gila-Gila, bersama seorang pengarah India tempatan bernama SK.

Film yang dibintangi oleh sosok-sosok familiar dalam industri perfileman tempatan seperti Fauzi Nawawi, Shah Iskandar, Puteri Sarah, Soffi Jikkan, Serra Kamal, Cathy Ikh dan ramai lagi ini memaparkan lakonan yang mantap dan memberi kesan terutama watak bapa yang dimainkan oleh Fauzi Nawawi, seorang duda beranak satu yang terlalu sayangkan anaknya dan sanggup melakukan apa sahaja demi menyelamatkan nyawa anak tunggalnya itu.
Menonton filem ini memerlukan fokus dan kesabaran yang mendalam kerana ianya banyak menguji kecekapan akal kita untuk merungkai misteri yang terjadi kerana rata-rata penonton akan terpinga-pinga kerana tidak memahami apa yang sebenarnya berlaku. Namun percayalah, anda pasti akan faham juga akhirnya kerana memang jawapannya akan anda dapati di babak-babak seterusnya.

Percubaan pengarah untuk bermain dengan teknik plot twistnya agak menjadi dan begitu juga ketepatan moment untuk jumpscare juga boleh dipuji dan menambah keseraman filem ini. Kita bakal dihidangkan dengan watak-watak yang kita hormat tetapi…?

Ditambah lagi dengan teknik makeup yang nampak ‘real’ dengan tangan hitam yang kurus dan panjang, berjaya menampilkan unsur seram dan menakutkan, tetapi ianya tidaklah berlebihan menjadikan ianya sesuai untuk tontonan umum.

Walaupun ini percubaan pertama pengarah SK membuat filem Melayu Seram, tetapi harus dipuji sensitiviti beliau dalam memainkan sentimen-sentimen keMelayuan di dalam filem ini seperti sinonimnya masyarakat Melayu dengan Masjid, Azan dan Agama. Ia membuatkan kita tidak berasa janggal sedikit pun. Menonton filem ini seolah-olah arahan seorang pengarah Melayu dan tiada unsur yang menentang kebiasaaan kita!.
Sementara itu, Penerbit filem ini Vani berkata, dia sanggup menerbitkan filem ini setelah membaca naskhah yang diberikan kepadanya oleh SK, beliau terus yakin dan tanpa ragu terus setuju untuk menjadi penerbit. Beliau yang juga bekas olahragawati sukan Karate aktif menerbitkan filem-filem Tamil sebelum ini.
Kesimpulannya, anda wajib tonton filem ini dan rasakan kelainan garapan pengarah bukan Melayu untuk filem Melayu tempatan. Teknik dan arahannya memberi ransangan kepada idea-idea baru yang bakal meningkatkan lagi kualiti filem tempatan. – eWana News
- Video akan dimasukkan tidak lama lagi