BUNGA CITRA LESTARI KONSERT BLOSSOM 2023
SEMPENA APRESIASI BCL BUAT PEMINAT! PEMENTASAN YANG MANTAP!
BCL Blossom Intimate Concert, begitu nama konsert perdana pelantun lagu Wanita Terbahagia itu setelah melalui banyak fasa dalam hidupnya beberapa tahun kebelakangan ini.
Ini menjadikan konsert sulung Bunga atau mesra disapa BCL selepas pandemik COVID 19 melanda dunia.












BCL Blossom Intimate Concert yang dibawakan oleh Icon Entertainment telah pun berlangsung pada 27 Januari 2023 lepas di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bermula pukul 8.30 malam.
Teruja kerana telah kembali menyapa peminat di Malaysia secara berdepan, BCL senang menggelarkan konsert ini sebagai hadiah dan apresiasi buat semua yang mendokong karier dan kehidupan peribadinya, terutama selepas suami tercinta, aktor Ashraf Daniel Mohamad Sinclair kembali ke Rahmatullah pada Februari 2020.
“Saya sangat berbesar hati untuk bertemu semula dengan peminat di Malaysia, apa lagi sudah cukup lama saya nantikan momen untuk melakukan konsert di negara yang sudah menjadi rumah kedua buat saya.

“BCL Blossom Intimate Concert ini juga sebagai lambang apresiasi buat seluruh peminat yang sudah banyak memberi sokongan kepada saya.
“Selalu DM dan memberi komen di sosial media memberi kata-kata semangat terutama sewaktu Ashraf meninggal dunia. Saya tidak dapat membalas semua mesej tetapi sangat menghargainya,” ujar BCL.
Mengenai pemilihan Blossom sebagai tema konsertnya, kata BCL, ia memberi signifikan kepada kerjaya dan kehidupan pada masa sekarang dan akan datang.
“Blossom memberi maksud supaya saya bangkit terus dalam berkarya dan tegar menjadi anak seni,” kata ibu kepada seorang anak lelaki ini lagi.
Sementara itu, pihak penganjur melahirkan kesyukuran kerana perancangan membawa BCL melakukan konsert di Malaysia akhirnya dapat dilaksanakan pada 27 Januari 2023 lepas.
“Kita semua sedia maklum selepas pemergian Allahyarham Ashraf, BCL berehat sebagai fasa untuk menguruskan kehidupan peribadinya.
“Kami di Icon Entertainment sentiasa mengekori rapat mengenai momen yang tepat untuk melamar sekaligus mendapatkan persetujuan beliau untuk melakukan konsert ini.
“Alhamdulillah selepas beberapa siri perbincangan dengan jadual beliau yang padat, BCL sendiri tidak mahu melepaskan peluang beraksi di ‘rumah keduanya’,” ujar Iman Tang selaku wakil penganjur.
BCL memulakan kerjayanya pada 2002 dan terkenal dengan genre pop. Antara untaian lagu yang membuat namanya meledak di Malaysia adalah Ingkar, Lagu Cinta Pertama (Sunny) dan album terakhir yang dikeluarkan pada 2017 iaitu It’s Me BCL.
Penyanyi dan pelakon berusia 39 tahun ini juga terkenal dengan lagu duet bersama Ari Lasso, Aku Dan Dirimu serta terkini, Menghapus Jejakmu duet bersama Ariel Noah.
Rata-rata peminat yang hadir pada konsert ini berasa puas dan sangat terpesona dengan persembahan BCL dan team nya. “Persembahan yang cantik, rapi dan eksklusif” komen salah seorang peminat mengakhiri perbualan kami. – eWana News