AMIR DAN UK’S ATASI KEBIMBANGAN DENGAN JAYA

Spread the love

KONSERT UK’S REUNION 25 TAHUN MENGULIK NOSTALGIA 90AN

Istana Budaya, Kuala Lumpur 18 Jun, 2022 – Setelah melepasi fasa kritikal bagi seluruh masyarakat Malaysia khususnya, mereka akhirnya dapat melepaskan lelah dan benar-benar menikmati malam yang bernostalgia di Istana Budaya apabila Konsert UK’s Reunion 25 tahun berlangsung 2 malam iaitu 17 dan 18 Jun.

Konsert yang julung-julung kali diadakan bagi band Pop Rock ini berlangsung dengan mantap dan lancar tanpa sebarang kejadian tidak diingini sepanjang 2 malam. Amir yang pada mulanya agak risau dengan keadaan suaranya apabila doktor menyatakan bahawa beliau mengalami luka pada kerongkongnya akibat latihan demi latihan yang tidak putus selama lebih satu bulan.

Walau bagaimana pun UK’s dan seluruh kru yang terlibat sudah boleh menarik nafas lega apabila semuanya berjalan lancar dan sememangnya cabaran paling besar adalah terletak di bahu Amir sendiri selaku penyanyi utama malam itu.

Dengan penampilan kemas dan verstail Amir dilihat segak dan berkarisma di pentas melantunkan lagu demi lagu yang tidak putus-putus dinyanyikan bersama oleh hampir 2000 penonton yang rata-ratanya berumur 30 tahun ke atas. Lagu kumpulan UK’s telah mendewasakan ramai professional dan tak kurang ada yang bercinta dan berkahwin bersama alunan lagu-lagu yang sememangnya mempunyai nilai penceritaan yang tersendiri.

Membuka pentas dengan Kau Satu-Satunya, Medley Kembali Mencari, Membara, Berkat Kasihmu. Kemudian diteruskan lagi dengan Di Luar Kemampuanku, Rondo Cinta Buta. Waktu ini penonton sudah mula lincah menyanyi dan melambai tangan malah kadang suara dan tepukan saling bertingkah menyemarakkan suasana.

Suasana hening seketika ketika Amir menyanyikan lagu Cintaku dan Berkat Kasihmu, namun hanya sekejap apabila penonton tidak mahu berdiam diri ketika lagu Rhythm Si Jantung Hati di mainkan. Entah kenapa suara penonton wanita lebih menyerlah malam ini, mungkin kerana wanita melebihi lelaki atau lelaki lebih malu-malu untuk melontarkan suara, itu tak dapat dipastikan. Tapi yang nyata adalah UK’s sangat memberi aura dan kekuatan dalam menggamit nostalgia kerana kami percaya bahawa setiap nostalgia yang menggamit adalah berkaitan dengan perasaan seperti cinta, kecewa dan sebagainya.

Nostalgia semakin menerawang apabila giliran lagu Kekasihku Di Menara dilantunkan, penonton terasa kembali ke zaman remaja apabila menghayati lagu ini yang pernah popular di ramai penonton yang datang di malam ini masih belajar di universiti. Pelbagai kisah lucu dan mencuit hati menggamit memori sehingga ada yang berbisik sesama sendiri ketika lagu ini diperdengar. Saya sendiri pernah mengalami kaset yang sering diputar hilang tak kembali apabila seorang rakan kolej meminjamnya dan sehingga ke hari ini masih belum dipulangkan!

Seterusnya Pahit Akan Manis Akhirnya dinyanyikan. Sekali lagi Istana Budaya bergema dengan suara penonton dan seperti tadi juga belah kanan Istana Budaya yang dimonopoli oleh golongan wanita menjuarai aksi bernyanyi beramai-ramai. Tampak sungguh bernostalgia dan meriah!

Medley Untuk Apa, Balada Ani juga tidak menghampakan menampakkan bahawa pemilihan lagu-lagu oleh penganjur dan kumpulan UK’s amat menjaga hati penonton dan tirai persembahan ditutup seketika memberi laluan untuk tontonan video mendengar komen-komen mereka yang sangat berkait rapat dengan pembikinan serta penerbitan album-album UK’s.

Penonton seterusnya dihiburkan dengan lagu Seksa, Sesak, Medley Kekasihku, Sebak dan Gemak Kasih Sepanjang Usia sebelum Amir mengumumkan sebuah penghargaan khas buat insan yang bernama SAARI AMRI apabila beliau dijemput untuk berduet bersama-sama Amir dalam lagu yang berjudul ‘Kita Sama Sahaja’.

Siapa tidak kenal Saari Amri yang sering menonjolkan dirinya sebagai seorang yang sederhana dan humble, tetapi imejnya malam ini sedikit berlainan apabila dipakaikan kemeja rekaan khas berwarna putih hijau dipadankan dengan topi putih berikat reben hijau dan berseluar putih, manakala malam kedua beliau bertopi koboi dan berbaju merah labuh berlabuci. Penampilan super star dan kelihatan elegan.

Lagu-lagu lain yang turut dinyanyikan adalah Medley Terasa, Tergamak Kau dan Bila Diri Disayangi. Kemudian disusuli pula dengan Medley Nafas Orang Kota dan Prosarasa. Ditambah lagi dengan Medley Satu Lilin Sehening Malam dan Sudah Tiada Tunasnya.

Suasana hening seketika apabila semua pemuzik keluar berehat, hanya tinggal pengarah muziknya Mohd Rafi Shafie dan pemain keyboard wanitanya. Kali ini Amir bernyanyi lagu Kita Akan Dijemput secara berdialog dan hanya diiringi piano. Persembahan Amir untuk lagu ini dilihat sangat beremosi dan ini diakui sendiri oleh beliau diakhir nyanyiannya.

UK’s yang dibarisi oleh anggota asal Rozdenil Toni (Denil) selaku pemain gitar, Mohd Saleh Mohd Alias (Olley, pemain bass) dan Amiruddin Sharif (dram, Amirul). U.K’s turut dibantu Mohd Rafi Shafie dan Ahmad Firdaus Mahmud yang menjadi pengarah muzik serta Mus Satira atau Mustafa Kamal Ahmad sebagai gitaris undangan selain kumpulan Mohram.

Pentas kemudian diberi gimik dengan lagu terakhir lagu Siapa Yang Rampas Cintamu hingga membuat ramai penonton terlopong dan berasa tidak puas kerana masih ada lagu yang belum mereka nyanyikan, sehingga akhirnya apa yang ditunggu-tunggu tiba jua apabila lagu Di Sana Menanti Di Sini Menunggu bergema. Sekali lagi dewan Istana Budaya menjadi saksi penonton menyanyikan lagu ini yang sarat dengan kenangan.

UK’s mengakhiri konsert ini dengan hati yang lapang dan gembira dan benarlah seperti kata Saari Amri dalam lagunya bahawa lagu-lagu UK’s adalah Tajam Menikam dan Bisa Berbisa

– eWana News

– Untuk lebih banyak berita sila layari https://news.ewana.asia

– Video akan di kemaskini tidak lama lagi

Show Buttons
Hide Buttons